Lama sekali Umar menghabiskan waktu untuk berkeliling di malam yang gelap gelita itu. Keletihan menyelimuti tubuhnya. Pada sebuah tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah. Umar bersandar. Sejenak dia berhenti untuk beristirehat bagi meneruskan langkahnya sedikit lagi sampai ke Masjid Nabawi. Fajar hampir menyinsing. Di antara suara binatang malam, sayup-sayup terdengar olehnya suara dua wanita di dalam rumah yang kecil. Pembicaraan itu berlansung antara seorang ibu dengan puterinya. Si anak berdebat dengan ibunya dan menolak mencampurkan susu perahan dengan air. Si ibu berkata, “Campurkanlah susu itu dengan air!”
“Amirul Mukminin melarang susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar dia melarang perbuatan itu?” ujar si anak.
“Umar tidak melihat kita. Dia tidak mungkin mengetahui perbuatan kita di penghujung terakhir malam ini!” jawab si ibu.
Seketikanya anak gadis menjawab, “wahai ibu, seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita. Sungguh demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Allah juga melarang perbuatan itu.!”
Pernyataan gadis ini menjadi air penyejuk bagi hati Umar. Sebuah jawapan yang memadukan kejujuran dengan keimanan, ketaatan kepada Allah dan perasaan diawasi olehNya. Umar mempercepatkan langkahnya menuju ke Masjid Nabawi bagi menunaikan solat Subuh bersama para sahabatnya. Setelah itu, dia kembali ke rumahnya. Kata-kata jujur gadis itu masih terngiang-ngiang dalam pendengarannya, “Seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita.”
Umar memanggil ‘Ashim, puteranya yang ingin berkahwin. Umar berkata, “wahai anakku, pergilah dan nikahilah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan anak yang memimpin Arab.”
‘Ashim menikahi gadis miskin yang warak itu. Namanya Ummu Ammarah binti Sufyan bin Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Daripada pernikahan ini lahirlah puteri yang mereka namakan Laila dengan nama panggilan Ummu ‘Ashim. Ummu ‘Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan. Hasil pernikahan mereka inilah yang melahirkan Umar Abdul Aziz, seorang khalifah yang zuhud, bertaqwa dan wara’. ¹
Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan khalifah ke-8 Bani Umayyah di Damascus (Syria) dan beliau adalah cicit kepada Umar al-Khattab. Beliau berkahwin dengan Fatimah, anak kepada Amirul Mukminin Abdul Malik bin Marwan. Yang mana Abdul Malik bin Marwan juga merupakan ayah saudara kepada Umar bin Abdul Aziz. Beliau mempunyai 10 orang anak lelaki (pohon nyor tak pasti berapa orang anak perempuannya).
Sebelum menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz pernah memegang jawatan Gabenor Madinah. Amirul Mukminin Sulaiman bin Abdul Malik telah mewasiatkan Umar Abdul Aziz sebagai pengganti dirinya dan Yazid bin Abdul Malik selepas itu. Khalifah Umar bin Abdul Aziz wafat setelah terbaring sakit kerana makanannya telah dibubuh racun.
Antara pidato awalnya, dalam keadaan khusyuk dan kerendahan hati, beliau menaiki mimbar dan berkata:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada nabi setelah Nabi kalian, tidak ada kitab yang diturunkan setelah al-Quran, dan ingatlah apa yang dihalalkan Allah akan tetap halal hingga hari akhirat. Ingatlah! Saya bukan qadi akan tetapi seorang pelaksana. Ingatlah! Saya bukan yang terbaik bagi kalian akan tetapi saya adalah seorang lelaki dari kalangan kalian dan sesungguhnya Allah memberikan beban yang berat kepada saya di antara kalian.”
Khalifah yang terkenal dengan sifat zuhudnya ini pernah digondolkan rambutnya ketika di Madinah untuk menuntut ilmu. Soleh bin Kisan (seorang ulama yang dipercayai) telah diamanahkan oleh Abdul Aziz bin Marwan untuk memerhatikan anaknya. Pada suatu hari, Umar bin Abdul Aziz terlewat mengerjakan solatnya.
“sikatku menyamakan dan menyeimbangkan rambutku.” Jawab Umar bin Abdul Aziz atas kelewatannya.
“Saya telah mendidikmu, apakah rambutmu menyusahkan solatmu?” kata Soleh bin Kisan dalam keadaan marah.
Abdul Aziz bin Marwan telah menghantar utusan untuk menggondolkan rambut anaknya apabila diberitahu tentang keadaan ini.
Khalifah Umar Abdul Aziz:
Ø amat mudah mengalirkan air mata terutama apabila memikirkan amanah yang diberikan kepadanya sebagai seorang Amirul Mukminin.
Ø Seorang peribadi yang khusyuk, tawadhu’ dan hanya takut serta mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata.
Ø Sentiasa menjaga ahli keluarganya daripada menggunakan harta kerajaan dan mendidik mereka supaya tidak bermewah.
Malah barang perhiasan isterinya yang diperoleh ketika berkahwin dulu turut diserahkan kepada Baitul Mal.
“Pilihlah olehmu wahai Fatimah, apakah engkau melepaskan perhiasanmu dan permatamu ke Baitul Mal atau dengan perasaan menyakitkan, saya menceraikan engkau dari saya. Sesungguhnya saya tidak menyukai, saya dan engkau, berada bersama perhiasan dan permata itu di dalam satu rumah.”
“tidak! Saya memilih Amirul Mukminin.” Kata Fatimah.
Ø Pernah memecat seorang pemerintah yang menyokong kumpulan yang mengkhianati Walid bin Abdul Malik (Amirul Mukminin di Madinah) dan merupakan seorang pembunuh <-- Khalid bin Rayyan.
Ø Ketika pemerintahannya, Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqafi (pernah menjadi salah seorang gabenor Dinasti Umaiyah) telah diasingkan . Hajjaj sangat zalim (diktator) dan dikenali sebagai seorang yang mudah membunuh sesiapa yang tidak bersetuju dengan dirinya termasuklah para ulama sekalipun.
Ø Beliau benar-benar mencontohi perilaku Rasulullah SAW dalam kehidupannya kerana kecintaannya terhadap baginda.
Ø Malah serigala dan kambing bersatu dalam perdamaian. Serigala yang hidup liar pun tidak menganggu kambing-kambing peliharaan manusia kerana dipenuhi keperluan hidupnya.
Hassan al-Basri (ahli feqah Iraq) seorang ulama zuhud pernah berkata kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz,
“Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaannya. Dia membawa gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Dia menjaganya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan.”
Umar Abdul Aziz berkata, “Bahkan saya katakan kepada diriku, saya Umar, apa saja yang saya benci hari ini adalah atas apa yang saya senangi esok hari (kiamat).”
1. Belajar dari Dua Umar, Kenyangkan Perut Rakyat; karya Hepi Andi Bastoni
2. 101 Mutiara Kisah Kezuhudan Khalifah Umar Abdul Aziz oleh Muhammad Sadiq Al-Minsawi
wallahu a'lam.......


0 comments:
Post a Comment