(Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..)
Menurut Ibn Ishaq yang dilaporkan oleh Ibn Hisyam bahawa sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, Baginda tidak meninggalkan sebarang wasiat atau pesanan kepada sesiapa untuk dicalonkan sebagai penggantinya (khalifah). Sebelum Baginda wafat, Baginda bersabda di hadapan para sahabat,
“in astakhlifa fa-qad astakhlifa man huwa khairun minni, wa in atrukuhum fa-qad tarakhum man huwa khairun minni.”(jika aku melantik khalifah, maka orang yang akan aku lantik itu adalah orang yang lebih baik daripadaku, dan jika aku serahkan (perlantikan itu) kepada mereka, maka mereka yang diserahkan itu pula adalah lebih baik daripadaku.)
Daripada ucapan Baginda itu, maka para sahabat termasuk ‘Umar bin al-Khattab mengertilah bahawa, Baginda tidak melantik sesiapa sebagai bakal penggantinya (lam yastakhlif ahadan). Masyarakat Islam bebas memilih sesiapa antara mereka yang layak menjadi khalifah.
1) Khalifah Abu Bakar al-Siddiq (11-13H / 632-634M)
“Walaupun aku dilantik, aku bukanlah orang yang terbaik antara kamu, jika sekiranya aku berlaku benar ikutlah aku, tetapi sebaliknya jika aku bersalah maka sanggahilah aku….Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan rasulNYA, jika aku berdusta makan janganlah kamu mentaati aku.”
2) Khalifah ‘Umar bin al-Khattab (13-23H / 634-644M)
“Adalah bandingan kaum Arab ini seperti seekor unta jinak yang diberi tali. Unta ini akan menurut siapa yang memandunya. InsyaAllah saya akan membawa kamu ke jalan yang benar.” (al-Tabari, 1/2144)
3) Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan (23-35H / 644-656M)
“Segala puji bagi Allah, Tuhan segala alam, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad (SAW). Wahai sekalian manusia, bahawasanya kamu berada dalam suatu benteng dan kehidupan kamu dalam usia yang sangat singkat. Dalam tempoh yang singkat itu maka kamu akan menemui ajal. Ketahuilah bahawa dunia ini penuh dengan tipu daya. Maka janganlah kamu tertipu dengan kemewahan hidup serta tipu daya dunia. Ambillah contoh daripada orang yang terdahulu daripada kamu dan berusahalah dengan penuh kesabaran sepanjang waktu.” (Ibid, 1/2800)
4) Khalifah ‘Ali bin Abi Talib (35-40H / 656-661M)
“Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya Allah Azza wa Jallah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk dan menyatakan kebaikan dan keburukan. Maka ambillah yang baik dan tinggalkan yang buruk. Allah mengharamkan sesuatu dan menghalalkan sesuatu, dan kerjakanlah yang halal dan tinggalkan yang haram. Bekerjalah dengan jujur demi perpaduan umat Islam. Orang Islam yang sebenar ialah orang yang selalu menjaga lidahnya dan tangannya daripada mencaci dan mengambil hak orang lain. Sekarang bersiaplah kamu kepada suatu yang amat penting iaitu mati, dan mati itu di hadapan kamu. Dan, bertakwalah kamu kepada Allah dan kamu bertanggungjawab di atas muka bumi ini. Patuhilah perintah Allah dan jangan sekali-kali derhaka kepadaNYA. Apabila kamu melihat kebaikan maka kerjakanlah, dan apabila kamu melihat kejahatan, maka tinggalkanlah.”
5) Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz ( 98-101H / 717-720M)
Khalifah ke-8 zaman Bani Umayyah, turut digelar sebagai Khalifah al-Rasyidin kelima. Huraian lanjut: Khalifah Umar bin Abdul Aziz
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada nabi setelah Nabi kalian, tidak ada kitab yang diturunkan setelah al-Quran, dan ingatlah apa yang dihalalkan Allah akan tetap halal hingga hari akhirat. Ingatlah! Saya bukan qadi akan tetapi seorang pelaksana. Ingatlah! Saya bukan yang terbaik bagi kalian akan tetapi saya adalah seorang lelaki dari kalangan kalian dan sesungguhnya Allah memberikan beban yang berat kepada saya di antara kalian.”
Wallahu a'lam wassalam....

0 comments:
Post a Comment