Friday, July 22, 2011

Waqiatul Jamal


‘Ali bin Abi Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hashim bin ‘Abd al-Manaf al-Quraisy dilantik menjadi khalifah (khalifah yang ke-4 pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin) pada 25 Zulhijjah 35H atau 23 Jun 656M menggantikan Khalifah ‘Uthman yang dibunuh. Pada mulanya beliau enggan menerima perjawatan itu, tetapi semua calon seperti Talhah dan al-Zubayr menolak. 

Perang Jamal berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H. Talhah bin Ubaidillah dan al-Zubayr sebagai ketua yang disokong oleh Siti ‘Aisyah r.a menentang Amirul Mukminin ‘Ali. Akan tetapi oleh sebab Siti ‘Aishah r.a adalah isteri Nabi Muhammad SAW, maka nama beliaulah yang lebih ditonjolkan. Peperangan ini dinamakan Perang Jamal kerana Saidatina ‘Aishah berada di atas unta (jamal) ketika peperangan tersebut. Peperangan ini mengambil masa tidak sampai sehari, dan kemenangan berpihak kepada Khalifah ‘Ali. Ramai yang terkorban, antaranya ialah Talhah dan al-Zubayr, sementara Siti ‘Aishah r.a ditawan dan dibawa ke Madinah dengan selamat.

Apakah punca berlakunya Perang Jamal? Banyak pendapat berkaitan hal ini.....antaranya: 

1) Untuk menjaga kepentingan mereka di Iraq yang telah dikuasai oleh Khalifah ‘Ali dan penyokong-penyokongnya. Menurut al-Tabari, pernah pada suatu ketika mereka meminta daripada Khalifah ‘Ali untuk dilantik menjadi gabenor Kufah dan Basrah. Talhah dan al-Zubayr adalah daripada suku Taim sama seperti Siti ‘Aishah r.a; sementara al-Zubayr adalah saudara ipar kepada Siti ‘Aishah r.a. Disamping itu, pemimpin-pemimpin Bani Umayyah yang dipecat oleh Khalifah ‘Ali seperti ‘Abdullah bin ‘Amir, bekas gabenor Basrah, Ya’la bin Umayyah, bekas gabenor Yaman dan lain-lain lagi turut menyokong Talhah dan al-Zubayr. (Tamadun Islam: Mahayudin Hj. Yahaya, 1998)



 
Al-Qadhi Ibn al-Arabi menegaskan:    

“Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-‘Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]

Sebelum itu hal yang sama ditegaskan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H):

“Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu 'anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]


Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik yang mengakibatkan bermulanya Perang Jamal:

“Orang-orang pun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Usman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”

Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!”
Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad ‘Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]


Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan:

“Mereka (para pembunuh Usman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri (self defense). Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak). Manakala Aisyah radhiallahu 'anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi‘ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]

“Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]


3) Untuk menuntut bela atas kematian Khalifah ‘Uthman. (Lima Khalifah Rasulullah: Khalid Muhammad Khalid, 1984)

Sebelum terjadinya pembunuhan ke atas Khalifah Uthman r.a, Sayidah Aishah r.a telah pergi ke Mekkah untuk menunaikan umrah. Beliau amat marah apabila terdengar berita pembunuhan ke atas Khalifah Uthman r.a. Ummul Mukminin Aishah bergerak bersama Thalhah dan Zubeir memimpin sebuah rombongan besar menuju ke Basrah untuk menyelesaikan berhubung kes pembunuhan tersebut.

Kepergian mereka ke Basrah diketahui oleh Khalifah ‘Ali. Amirul Mukminin ‘Ali r.a memanggil Qa’qa’ bin Amr untuk menghantar setandan buah zaitun kepada Amirul Mukminin, Thalhah, dan Zubeir. Seperti yang diriwayatkan Ibnu Katsir:

Qa’qa bertanya kepada Ummu Mukminin, Thalhah dan Zubeir tentang maksud kedatangan mereka ke Basrah. Maka mereka menjawab, adalah untuk mencari perdamaian di antara manusia iaitu dengan menuntut bela kematian ‘Uthman dan membunuh si pembunuh tersebut.

“Sebenarnya tuan-tuan akan berhasil membunuh para pembunuh di antara warga Basrah ini, akan tetapi tuan-tuan lebih berada di jalan yang benar sebelum membunuh daripada sesudahnya. Tuan-tuan terlalu banyak membunuh. Jumlah orang yang tuan-tuan bunuh sudah mencapai 600 orang, sehingga hal ini menimbulkan kemarahan 6000 orang. Tuan-tuan mencari seorang pembunuh iaitu Harqus bin Zuheir, akan tetapi tuan-tuan tidak dapat menemukannya kerana ada 6000 orang yang memihak kepadanya dan melindunginya….Tak dapatkah ibunda dan anda memberi kesempatan kepada Amirul Mukminin ‘Ali menunda pembunuhan terhadap orang yang membunuh Uthman itu sampai keadaan memungkinkan? Saat ini pendapat di seluruh penjuru Negara Islam berbeza-beza. Sementara itu kelompok besar yang terdiri dari suku Rabiyah dan Mudhar telah berhimpun pula untuk menyalakan api peperangan yang dahsyat….!”

“Lalu bagaimana pendapatmu hai Qa’qa’?”

“Ibunda, kami berpendapat sebaiknya bunda dan anda berdua lebih mengutamakan keselamatan dan memberikan bai’at kepada ‘Amirul Mukminin. Dan hendaknya tuan-tuan menjadi kunci kebaikan sebagaimana halnya tuan-tuan di masa lalu. Janganlah tuan-tuan membawa kami kepada bencana yang juga akan menyeret bunda dan tuan-tuan sendiri!”

Dan akhirnya mereka sepakat agar Khalifah ‘Ali sendiri yang datang ke Bashrah untuk menyelesaikan hal tersebut.

Bagaimanapun, di waktu subuh tiba-tiba 2000 orang di pihak yang membunuh Khalifah Uthman menyerang khemah-khemah tentera Thalhah dan Zubeir ketika mereka sedang tidur. Disebabkan serangan mengejut ini, Pasukan Basrah menuduh tawaran damai itu hanya tipu semata-mata. Dan terjadilah peperangan Jamal yang tidak dapat dielakkan, meskipun Ali r.a berusha sekuat usaha untuk mencapai perdamaian.

Ketika dalam pertempuran, maka Amirul Mukminin ‘Ali menghampiri Thalhah dan Zubeir lalu berkata, 
“Wahai Thalhah…..! Kenapa kamu sembunyikan isterimu di rumah dan kamu membawa isteri Rasulullah SAW untuk melibatkan diri dalam peperangan…?”

Dan kepada Zubeir, 

“Dan kamu hai Zubeir….! Tidak ingatkah kamu akan saat seperti ini, di saat aku menghadap Rasulullah SAW, kemudian kamu tertawa kepadaku…lalu kamu ditanya oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mencintainya hai Zubeir?” 

Maka jawabmu: “Benar ya Rasulullah…”


Kemudian kata Rasulullah SAW kepadamu: “Maka ingatlah apabila kamu sampai memeranginya, bererti kamu berlaku aniaya kepadanya….”

Mendengar ucapan Ali r.a, Zubeir pun berseru: “Benar…! Anda telah mengingatkanku akan sesuatu yang telah lupa dari ingatanku.”

Mereka juga menyedari Ammar bin Yasir berperang di pihak Ali r.a. Mereka mengetahui  akan sabda Rasulullah SAW: 

“ Orang yang membunuhmu kelak adalah kaum durhaka.” –Al-Hadis

Lalu Thalhah dan Zubeir meninggalkan medan pertempuran. Tetapi, kedua-duanya dibunuh di pertengahan jalan oleh orang-orang yang berniat jahat.

Khalifah ‘Ali melihat pihak musuh berupaya untuk menyerang unta Ummu Mukminin pula, dan diperintahkan beberapa orang sahabat untuk sentiasa berada dekat unta itu untuk mempertahankan Ummu Mukminin dari tercedera. Kemudian Muhammad bin Abu Bakar dipanggil agar menemani saudara perempuannya Ummu Mukminin Aishah ke Mekah lalu ke Madinah dalam keadaan selamat.

Begitulah peristiwa sekitar Waqiatul Jamal. Ketika ditanya kepada ‘Ali r.a berkaitan orang-orang yang memeranginya: “Adakah mereka musyrikin?” 
Maka ‘Ali r.a menjawab, “mereka itu lari daripada syirik.” 

“Adakah mereka munafiq?” maka ‘Ali r.a menjawab, “Munafiq, tidak ingat akan Allah walaupun sedikit, dan yang lawan dengan aku itu orang-orang yang banyak mengingati Allah SWT.” 

Lalu sahabat bertanya kembali, “mereka siapa?” maka kata ‘Ali r.a, “kawan-kawan kita yang hanya bergaduh dengan kita.”

Begitulah, waraknya 'Ali r.a, Beliau tidak ingin menghukum. Sekian dari saya, segala yang baik itu daripada Allah SWT, dan yang buruk itu adalah berdasarkan kepada kelemahan saya sendiri. Mudah-mudahan entry kali ini ada manfaatnya.

Pohon nyor ingin mengucapkan selamat berpuasa, Ramadhan sudah hampir tiba. Semoga kita dapat memanfaatkan kehadirannya pada kali ini dengan penuh bermakna. Adakah kita telah bersedia dengan kehadiran Ramadhan atau, kita sedang bersiap sedia dengan kehadiran Syawal..?? 



Wallahu a’lam wassalam……^^

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...