Tuesday, September 27, 2011

Hidup Yang Sederhana



Seorang wanita yang berasal daripada keluarga kaya dan terkenal, berubah corak hidupnya apabila berkahwin dengan pemimpin yang cintakan Islam. Wanita itu Fatimah binti Abdul Malik adalah puteri kepada Khalifah Abdul Malik Bin Marwan. Fatimah berkahwin dengan Amirul Mukminin yang terkenal dengan kezuhudannya iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz,yang mana Amirul Mukminin Umar merupakan anak saudara kepada Khalifah Abdul Malik. Mereka memilih hidup yang sederhana selepas Umar Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah. Fatimah tidak mempunyai pembantu rumah, dia membuat segala kerja rumah dengan tangannya sendiri. Walaupun dia adalah isteri kepada pemimpin kerajaan yang besar, tetapi dia tidak pernah mengeluh apabila melakukan kerja-kerja sendiri. Fatimah bahagia melakukan semua itu kerana dia ingin mencari keredhaan Allah semata-mata.

Pada suatu hari, datang seorang wanita yang mahu berjumpa dengan Khalifah Umar atas urusan rasmi. Wanita itu bertanya kepada orang yang ada di hadapan rumah Umar, “Adakah rumah Umar mempunyai langsir yang menghalang saya berjumpa dengannya?”

“Tidak ada. Persilakan masuk.”

Wanita itu pun masuk ke dalam rumah Umar dan berjumpa dengan Fatimah yang sedang duduk menyulam kain. Fatimah mempelawanya duduk. Wanita itu melihat sekeliling ruang tamu rumah. Dia tidak melihat barang berharga di dalam rumah itu. Tidak ada gelas-gelas berukir, bantal mewah, tiada permaidani tebal. Rumah itu tidak seperti rumah pembesar. Wanita itu juga tidak melihat anak-anak Fatimah bermain di situ.

Wanita itu bersungut kepada dirinya, “Sungguh pelik. Rumah saya lebih cantik daripada rumah ini yang hampir roboh.”

Fatimah yang mendengarnya, tersenyum sahaja. Tiba-tiba kedengaran bunyi langkah tapak kaki. Wanita itu melihat seorang lelaki masuk di sudut rumah itu. Kelihatan lelaki itu sedang melakukan sesuatu sambil matanya sendiri memandang Fatimah. Lelaki itu berpakaian seperti orang biasa. Wanita yang menjadi tetamu itu berasa hairan kerana lelaki itu asyik memandang Fatimah.

“Wahai Fatimah, saudari perlu membeli kain bagi dibuat tabir supaya saudari tidak dilihat oleh lelaki lain. Seperti lelaki itu yang sering menjeling saudari. Lelaki itu seperti tidak waras sahaja. Sedangkan saudari adalah wanita mulia dan dipandang tinggi kedudukannya.”

Fatimah tergelak kecil dan tersenyum mendengar kata-kata wanita itu.

“Wahai hamba Allah, itu bukanlah lelaki tidak waras. Itulah pemimpin kerajaan ini, Umar bin Abdul Aziz, dan juga suamiku.”

Umar mendekati mereka dan memberi salam. Kemudian, pergi ke surau yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.



Sumber: Buku Selembut Bicara, Kisah-Kisah Inspirasi Untuk Wanita nukilan Saridah Hamid

Untuk mengenali lebih lanjut Khalifah Umar bin Abdul Aziz, click di sini

2 comments:

ank_ayah said...

Subhanallah
Masyaallah
Allahu Akbar
Tk tahu dah nk ckp apa.. Cemburu..moga Allah ampunkan sy yg msh ada cinta dunia dlm hati.

pohon nyor said...

^_^

jom kita sama2 zuhud dengan dunia dan zuhud dengan apa yang ada pada manusia.... (nasihat utk diri akak sendiri jugak...huhu..)

"Zuhudlah terhadap dunia, nescaya engkau akan DICINTAI ALLAH. Dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya engkau akan dicintai manusia." (HR Ibnu Majah dan lainnya dengan sanad hassan)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...