Apabila senja menjelang, seorang
gadis yang masih kecil sedang berdiri berhadapan tingkap rumahnya. Pandangannya
dilemparkan ke halaman rumah. Dia sedang menunggu kepulangan bapanya.
Tiba-tiba, muncul lembaga yang sedang bergerak dari jauh. Pergerakan lembaga
itu semakin mendekati halaman rumahnya. Dia merenung lembaga yang kemudiannya
dikenali sebagai seorang lelaki. Lelaki itu tidak dikenali dan kelihatan begitu
kacak.
‘Mungkin lelaki itu orang baru di
kampungnya? Apakah yang menyebabkan lelaki itu datang ke kampungnya?’ Detik
hatinya..
Tanpa diduga, lelaki itu masuk ke
halaman rumahnya dan menghampiri rumahnya. ‘Mungkin lelaki ini mahu berjumpa
dengan bapa.’
“Assalamu’alaikum..” Lelaki itu
memberi salam.
“Wa ‘alaikumussalam wa
rahmatullah..” Balas gadis itu lalu menuju ke pintu. Dia menyambut kedatangan
lelaki itu dengan wajah ceria dan yakin. Di hatinya tiada sebarang perasaan
ragu dan gugup.
“Silakan masuk, pakcik. Sebentar
lagi ayah saya pulang dari ladang. Biasanya, ayah saya pulang menjelang maghrib
dan kami solat berjemaah.” Ujarnya sambil tersenyum.
Apabila mendengar penjelasan gadis
itu, lelaki itu tidak jadi masuk ke dalam dan berundur seketika. “Bapa kamu
tidak ada di rumah? Mengapa kamu berani membenarkan orang asing masuk ke dalam
rumah? Bukankah kamu belum mengenali pakcik? Ibu kamu ada di rumah?” Tanya
lelaki itu bertalu-talu.
“Ibu saya sudah lama meninggal
dunia. Marilah pakcik masuk ke dalam rumah. Dipersilakan duduk, pakcik.”
Jemputnya mesra.
“Apakah kamu tidak mengesyakki
apa-apa pada pakcik? Ini adalah kali pertama pakcik tiba di kampung ini dan
kamu pun baru pertama kali berjumpa dengan pakcik.”
“Mengapakah saya mesti ragu-ragu
dengan pakcik? Arwah ibu saya pernah berpesan, orang yang memberi salam,
‘Assalamualaikum’ seperti yang pakcik ucapkan kepada saya tadi mustahil dia
orang jahat. Bukankah orang yang memberi salam itu seperti orang yang mendoakan
keselamatan dan kebahagian kami di dalam rumah ini? Oh ya, nama saya Aminah”
Ujar Aminah sambil tersenyum ramah.
Tertarik hati lelaki itu dengan
kepetahan jawapan gadis kecil tersebut. Dia kagum dengan keyakinan gadis kecil
yang baru mencapai usia 10 tahun atau 13 tahun itu. Terpancar di wajahnya
cahaya keikhlasan hatinya. Lelaki itu berpendapat kampung itu belum tercemar
dengan perbuatan jahat. Contoh berada di hadapan matanya. Hati yang begitu
ikhlas dan jiwa manusia yang masih murni tanpa sebarang pengaruh buruk.
Lelaki itu mula malu pada dirinya.
Dia merasakan ucapan salamnya tidak selari dengan niat dan perbuatan sebenar dan
tujuannya ke kampung itu. Dia mula tertarik dengan budi pekerti gadis kecil itu
dan ingin mengujinya.
“Adakah kamu tidak takut apabila
pakcik masuk ke dalam? Sedangkan kamu tinggal seorang diri di rumah ini?”
Balas Aminah, “adakah pakcik fikir
saya tinggal seorang diri di rumah ini?”
“Jika begitu, adakah kamu tinggal
bersama dengan ahli keluarga lain? Di manakah mereka? Mengapakah mereka tidak
keluar bertemu dengan pakcik?” Lelaki itu semakin bingung kerana dia tidak
mendengar suara orang lain.
“Tidak! Tidak ada orang lain di
dalam rumah ini! Hanya saya dan bapa yang tinggal di sini. Bapa saya masih di
ladang. Saya anak tunggal.” Jelas Aminah.
“Adakah kamu ingin mempermainkan
pakcik? Tadi kamu kata, kamu tidak bersendirian di rumah sedangkan kamu kata
tiada sesiapapun di rumah ini. Apa maksud kamu?”
“Tidak! Tidak terlintas di fikiran
saya mahu memperdayakan pakcik. Dan….ya, saya tidak pernah rasa sendirian walau
di mana saya berada. Pakcik juga tidak datang bersendirian ke sini. Saya
ataupun pakcik, di mana sahaja kita berada ataupun kita pergi, kita diiringi
bersama oleh pengawal setia yang bergelar kiraaman-kaatibin iaitu pencatat
segala amal perbuatan kita. Kita bertangungjawab bagi segala amal perbuatan di
akhirat.” Panjang lebar penerangan Aminah. Dia berharap lelaki itu faham dengan
penerangannya dan tidak berkecil hati dengan jawapannya.
Lelaki itu menundukkan kepala
apabila mendengar penjelasan Aminah. Hatinya terusik dengan kata-kata itu.
Seolah-olah begitu mendalam hujah yang disampaikan oleh Aminah. Imannya yang
tipis tergugat dan berkocak kesan daripada kata-kata gadis kecil itu.
‘Kampung ini layak berada dalam
keadaan tenang dan tenteram. Ucapan salam di sini adalah ucapan mulia selaras
dengan makna dan perbuatannya. Penduduk di sini baik hati, baik luaran mahupun
dalaman. Ucapan salam yang diucapkan oleh penduduk kampung ini lahir dari hati
yang ikhlas dan jujur. Bukan sebarang ucapan salam yang sering diperlekeh atau
diperkecilkan. Bukan sekadar mengandungi tipu muslihat, tetapi keluar daripada
rasa jiwa iman yang jujur kerana Allah. Iman mereka begitu kental dan jitu.
Mereka yakin malaikat sentiasa mengawasi pergerakan dan sentiasa diperhati
Allah. Mereka yakin amal perbuatan akan dikira pada Hari Akhirat.” Detik hati
lelaki itu.
“Bapa, ada tetamu di rumah!” jerit
Aminah dengan ceria. Terperanjat lamunan lelaki itu.
“Alhamdulillah..” sahut bapa dengan
gembira. “Segala puji bagi Allah, kita diberi oleh Allah dengan kunjungan
tetamu ini. Tetamu pembawa rahmat. Ia memberi kita kesempatan membuat amal.”
Lelaki itu berasa lega mendengar
kata-kata tuan rumah. Mungkin dia dibenarkan bermalam di situ. Apabila tuan
rumah tiba di muka pintu, lelaki itu berdiri menyambutnya. Mereka bersalaman
seperti dua sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Tiada kelakuan yang kekok
antara satu sama lain.
Azan waktu maghrib kedengaran
dilaungkan dari masjid yang berdekatan. Mereka solat berjemaah. Selesai solat,
tuan rumah membaca ayat al-Quran. Bacaan itu menyentuh perasaan bagi sesiapa yang
mendengarnya; ‘tiada perbezaan antara manusia di sisi Allah yang menjadi
Penciptanya. Walaupun dia raja yang disanjung, apabila di sisi Allah, dia
adalah hamba Allah jua. ‘ tanpa disedari air matanya berlinang di pipi..
“Kami tinggal di kampung yang terpencil.”
Sekali lagi, tetamu itu terperanjat
mendengar suara tuan rumah. Tuan rumah sudah selesai membaca ayat al-Quran.
Lelaki itu tersipu-sipu dan membetulkan kedudukannya.
“Kami tinggal jauh dari bandar.
Minta maaf kerana kami tidak dapat menjamu tuan dengan baik. Hanya ini yang
dapat kami hidangkan.” Kata tuan rumah sambil menghidangkan secawan susu
kambing. “Susu ini kami perah sendiri. Jemput minum.”
“Alhamdulillah.” Sambut lelaki itu.
“Saya bangga kerana saudara menerima kehadiran saya di rumah ini sebagai
tetamu, walaupun saudara tidak mengenali saya. Saya terasa diberi kemuliaan dan
dihormati sebagai tetamu rumah ini.”
“Sungguh lazat susu kambing ini.”
Puji lelaki itu.
“Rasa susu kambing sama sahaja,
tiada beza.” Kata tuan rumah. “Ia berbeza apabila orang yang minum air susu itu
beserta dengan rasa syukur. Sudah tentu dia merasai nikmat susu itu. Ini kerana
di dunia ini, kita tidak akan puas apabila tidak disertakan dengan iman.”
“Ya, betul. Tetapi, ikhlas saya
katakana susu ini sungguh enak berbanding dengan susu yang selalu saya minum di
bandar.” Balas lelaki itu.
“Syukurlah jika saudara berkata
begitu. Allah melipat gandakan nikmat bagi hambaNya.”
“Berapa banyak susu kambing diperah
setiap hari?” Tanya lelaki itu.
“Kira-kira 10 hingga 20 liter
sehari,” jawab tuan rumah.
“Berapakah kos yang dikeluarkan
bagi membela kambing?” Tanya tetamu tesebut.
“Kami tidak mengeluarkan belanja.
Ini kerana rumput tidak perlu dibeli dan kami yang mengembalanya sendiri. Kami
tidak mengupah orang.” Jelas tuan rumah tanpa berselindung.
‘Jika begitu, beruntung petani di
sini. Mereka memperoleh keuntungan yang tinggi, tetapi cukai yang dikenakan
kepada mereka rendah. Sewajarnya, cukai perlu dinaikkan.’ Fikir tetamu itu.
“Tetapi,” Aminah menyampuk. Sejak
tadi dia hanya mendengar perbualan ayahnya dan tetamu itu. “Semua keuntungan
yang kami peroleh adalah berkat daripada Allah juga. Kami tidak dapat membuat
susu daripada rumput. Kata arwah ibu, berkat Allah hilang apabila raja berbuat
zalim kepada rakyatnya.”
Tetamu lelaki itu rasa tersindir.
Seolah-olah gadis kecil dapat membaca fikirannya. Sungguh petah dan pedas!
“Adakah kamu kenal dengan raja
negeri ini? Adakah raja kamu pernah datang ke kampung ini?” Tanya lelaki itu
pada Aminah.
“Tidak! Saya dan ayah belum pernah
berjumpa dengan raja. Kami juga belum pernah melihat atau mendengar berkenaan
kedatangan raja ke kampung ini. Kampung ini jauh dan terpencil dari ibu kota
negeri ini.” Jawab mereka berdua.
Pada malam itu, lelaki itu tidur dengan
fikiran yang kusut. Dia memikirkan nikmat berada di dalam rumah yang dipenuhi
dengan cahaya iman. Begitu bahagia orang yang hidup sederhana seperti keluarga
petami ini. Mereka tidak hidup dalam kepura-puraan. Apabila situasi ini berlaku
kepada semua kampung, negeri ini menjadi aman dan makmur. Apabila rakyatnya
mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh, pemerintah negeri tidak
perlu bimbang.
Usai solat subuh. Bapa Aminah sudah
menyiapkan hidangan pagi untuk mereka.
“Ayah, mari sini cepat. Lihat!
Kambing kita tidak mengeluarkan air susunya walaupun setitik!” kata Aminah
dengan suara sedih. “Selalunya kambing
ini paling banyak mengeluarkan susu. Mungkin ini akibat raja kita sudah
melakukan kezaliman!”
Tetamu itu terkejut mendengar
kata-kata Aminah. Lantas terus pergi melihat sendiri apa yang berlaku. ‘Betul
juga kata anak ini. Berkat sudah hilang’
“Tidak! Raja tidak melakukan
kezaliman. Jika benar beliau berbuat zalim, pakcik sendiri pergi berjumpa
dengannya di istana!”
“Adakah pakcik kenal dan rapat
dengan raja kita?” Aminah kehairanan.
“Ya, pakcik kenal beliau dengan
baik. Pakcik akan memberitahu kepadanya supaya tidak bertindak zalim.” Jawab
lelaki itu member harapan kepada Aminah.
Perkara ajaib berlaku sebaik sahaja
lelaki itu selesai berkata. Aminah cuba memerah kembali susu kambingnya. Dengan
tidak disangka, kambing itu mengeluarkan susu dengan mudah. Bukankah lelaki
itu sudah berjanji tidak berbuat zalim kepada rakyatnya. Lelaki itu adalah raja
negeri itu!
Sekian………….wallahu a’lam wassalam..
Sumber: Selembut bicara oleh
Saridah Hamid.

2 comments:
Alhamdulillah.. nice entry.. thankz..
http://nazira-mypersonallife.blogspot.com/
welcome....^^
Alhamdulillah....terima kasih kembali sebab sudi singgah sini...mudah2an ada manfaat bersama...
Post a Comment